Designed By: ehsanibnzaid


Saturday, June 11, 2005

SIAPAKAH MUSUH ORANG MUKMIN?

Jika kita mahu meneliti dan mengkaji tabiat di sekeliling kita, maka kita kan mendapati satu perkara yang tak lari dari kehidupan kita iaitu “MUSUH”. Musuh kucing ialah anjing, musuh tanaman ialah serangga perosak, musuh orang kaya ialah perompak, musuh si kedekut ialah derma/sedekah, musuh Negara ialah pengkhianat/pembelot/pembolot, musuh ikhlas ialah penipu dan hati-hati musuh dalam selimut. Umumnya, orang mukmin akan berhadapan dengan lima musuh iaitu:

1. Dunia
Dunia adalah jambatan untuk kita menuju akhirat. Ianya juga adalah ladang tempat kita bercucuk tanam untuk memetik hasil di akhirat nanti. Syaratnya mudah sahaja, gunakan semua nikmat dunia ini sesuai dengan syariat Islam, maka jadilah ia ibadah. Tetapi dunia ini akan tetap menjadi musuh kepada kita anadainya kita gunakan semua nikmat Allah di dunia ini tanpa mengikut batasan dan landasan yang telah ditetapkan. (Halal dan haram no differences) Maka kayalah dia dengan harta riba, rasuah, curi, rompakan judi dan sebagainya. Dunia seperti ini perlu dihindari oleh kita supaya kita selamat daripada kemurkaan Allah dunia dan akhirat.

2. Kufur
Orang kufur atau kafir dan juga munafik tidak beriman kepada Allah swt dan apa sahaja yang dilakukan oleh mereka kebanyakannya adalah untuk kepentingan dan keseronokan dunia semata-mata. Jika kita tidak berhati-hati, kita juga akan terperangkap dengan cara hidup mereka. Bagaimana cara kita berhadapan dengan pengaruh negatif mereka? Caranya mudah sahaja, kalau mereka tonjolkan budaya durjana dan maksiat kepada kita, kita lawan mereka dengan menonjolkan budaya Islam yang syumul lagi indah berlandaskan Al – Quran dan as- Sunnah. Kita ketengahkan pendidikan yang mengagungkan Allah di samping tidak mengabaikan ilmu duniawi. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan ada beberapa perkara kebaikan yang boleh kita terima daripada mereka seperti kemajuan sains dan teknologi, etika kerja, sikap berterus terang, bersungguh-sungguh dan lain-lain sikap positif yang tidak bertentangan dengan syariat.

3. Orang Islam Fasik
Orang Islam Fasik adalah orang yang derhaka lagi tidak adil dan sentiasa terlibat dengan dosa. Dalam hatinya nasih menebal sifat tercela seperti riak, ujub, sum’ah, takbur, tamak haloba, dengki khianat, cinta dunia, gila pangkat dan apa-apa lagi yang ana tak sebut dan sebagainya. Cara orang mukmin berhadapan dengan manusia jenis ini alah dengan menasihat, mengajak dan mendidik mereka supaya meninggalkan semua sifat tercela dan menggantikan sifat-sifat tercela dengan sifat-sifat mahmudah dan yang seangkatan dengannya. Jika mereka bersalah dengan kita, kita buat baik terhadap mereka atau maafkan sahaja. Umpama orang membaling tahi kepada kita, tetapi kita hadiahkan bunga kepada mereka. Ataupun orang yang tempeleng muka kita, tapi kita beri RM 10 kepada mereka. Pernah cuba kaedah ini? Jika pernah jangan ulanginya lagi dan jangan sesekali cuba di rumah.

4. Nafsu
Nafsu adalah pendorong atau penggerak bagi manusia untuk melakukan sesuatu yang baik atau yang buruk dalam kehidupannya. Nafsu jika tidak dikawal akan mengajak kita melakukan perkara yang mungkar dan maksiat yang dilarang oleh Allah. Ianya ibarat kuda liar yang terpaksa diawasi pergerakannya. Nafsu boleh dikawal dengan bermujahadah seperti berpuasa, mengurangkan makan dan tidur, banyakkan ibadah sunnah seperti membaca Al- Quran, selawat, solat sunat, wirid, zikir dan sebagainya.

5. Syaitan
Syaitan adalah musuh orang Mukmin yang nyata. Ketuanya, adalah iblis laknatullah, telah bersumpah bahawa dia akan menghasut dan menyesatkan semua orang mukmin hingga hari kiamat. Namun begitu, dia tidak akan dapat berbuat demikian terhadap orang mukmin yang ikhlas serta menghindarkan dirinya dari pintu-pintu maksiat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home