Designed By: ehsanibnzaid


Saturday, July 23, 2005

AKU HANYA PERLUKAN HATI-HATI YANG HIDUP

Oleh: abg. Ayoi

Apakah cahaya rabbani yang dilimpahkan oleh Nabi s.a.w. dalam hati para sahabat hingga menyebabkan ia bersinar bercahaya selepas melalui zaman kegelapan? Apakah mata air rohani yang dialirkan ke dalam hati para sahabat hingga menyebabkan hati ini tumbuh membesar dan berkembang bersama rasa hati dan perasaan?

Ada tiga rasa yang Nabi s.a.w. limpahkan ke dalam para sahabatnya hingga berjaya membentuk hati-hati ini.

a) Nabi s.a.w. limpahkan ke dalam hati mereka bahawa apa yang baginda bawa ini adalah benar dan selainnya adalah salah. Baginda tanamkan bahawa risalah baginda adalah risalah yang terbaik. Pendekatan baginda adalah paling lengkap yang mampu membawa kebahagiaan kepada seluruh manusia. Baginda bacakan pula kepada mereka ayat al-Quran yang memperkuatkan lagi hakikat ini dalam jiwa mereka.

“Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di ataas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).” (Al-Zukhruf: 43-44)

“Oleh itu, berserahlah kepada Allah, sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran yang jelas nyata.” (Al-Naml: 79)

“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).” (Al-Jathiyah: 18)

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Al-Nisa’: 65)

Para sahabat pun mengimaninya, lantas mereka meyakininya dan melaksanakannya.


b) Nabi s.a.w. melimpahkan dalam hati mereka bahawa selagimana mereka di pihak yang benar dan selagimana mereka adalah pendokong risalah cahaya ini dan yang lain tenggelam dalam kegelapan, selagimana di hadapan mereka masih ada hidayah langit untuk memimpin bumi ini, selagi itulah mereka perlu menjadi guru kepada seluruh manusia dan mendidik orang lain umpama seorang guru mendidik anak muridnya. Seorang guru akan menyayangi anak muridnya dan akan membimbing, memperbetul dan memimpin mereka ke arah kebaikan dan jalan yang betul.

Al-Quran turut menyokong nilai ini dan memperjelaskannya lagi. Dengan ini para sahabat telah menerima wahyu langit daripada nabi mereka.

“Kamu (wahai Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Aali Imran: 110)

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manuisa(tenteang yang benar danyang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Al-Baqarah: 143)

Firman Allah lagi yang bermaksud;

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Al-Haj: 78)

Para sahabat mengimani nilai ini, meyakini serta melaksanakannya.


c) Nabi melimpahkan dalam hati mereka bahawa selagimana mereka mengimani kebenaran ini dan merasa bangga kerana turut bersamanya, Allah sentiasa bersama mereka untuk membantu, membimbing, menolong, menyokong dan menghulurkan segala pertolongan ketika orang lain menjauhkan diri daripada mereka. Allah akan menyelamatkan mereka di kala mereka amat-amat memerlukan pertolongan. Allah bersama mereka di mana jua mereka berada. Jika Allah tidak utuskan bantuan tentera daripada bumi nescaya Allah akan turunkan tentera daripada langit. Para sahabat sering membaca nilai-nilai ini dengan jelas dalam Kitab Allah.

“Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesipa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-A’raf: 128)

“Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.” (Al-Anbiya’: 105)

“Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugama-Nya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Haj:40)

“Allah tekah menetapkan: Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasul-Ku tetap mengalahkan (golongan yang menentang).” (Al-Mujadalah: 21)

“Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 21)

“(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal: 12)

“Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang briman.” (Al-Rum: 47)

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepda kaum yang tertindas di negeri itu.” (Al-Qasas: 5)

Para sahabat membaca ayat-ayat ini. Mereka amat memahami, mengimani, meyakini dan kemudian mereka melaksanakannya.


Dengan ketiga-tiga nilai ini iaitu keimanan dan keyakinan yang tinggi dengan risalah Islam ini, rasa bangga kerana memilikinya dan harapan yang tinggi untuk menerima bantuan Allah, dengan izin Allah ketiga - tiga nilai ini telah berjaya ditanam oleh pemimpin pertama iaitu Nabi s.a.w. ke dalam hati para sahabat yang beriman. Baginda menggariskan matlamat hidup mereka. Oleh itu mereka mengorak langkah membawa bersam risalah mereka yang tersimpan di dalam dada dan juga di lembaran mereka, bertapak teguh bersama akhlak dan amalan mereka, mengharapkan limpah kurnia Allah dan yakin Allah akan membantu dan menolong mereka. Dengan semangat ini seluruh bumi tunduk kepada mereka. Mereka berjaya menegakkan sebuah tamadun yang penuh dengan prinsip mulia serta peradaban akhlak yang berlandaskan semangat kasih sayang dan adil di dunia ini. Mereka mengubah hidup dunia ini yang penuh dengan nilai kebendaan pasif yang keji kepada nilai rabbani dinamik yang terpuji. Allah tidak akan reda kecuali setelah cahayanya sempurna.

Ketiga-tiga nilai inilah yang menjadi matlamat utama kita dalam mengajak manusia. Ia adalah rahsia kejayaan Rasulullah SAW. RASULULLAH SAW HANYA MEMERLUKAN HATI-HATI YANG HIDUP UNTUK MENYAMBUNG PERJUANGAN BAGINDA DAN UNTUK MELETAKKAN ISLAM PADA TEMPATNYA. Persoalannya, ADAKAH HATI KITA HIDUP? Fikirkanlah dan belajarlah...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home