Designed By: ehsanibnzaid


Wednesday, July 27, 2005

TUDUHAN TAK BERASAS - MENTERI PENGAJIAN TINGGI

Kumpulan propembangkang disah wujud di UPSI, UIAM
Oleh: Ehsan

KUALA LUMPUR 23 Julai - Kementerian Pengajian Tinggi mengesahkan kumpulan propembangkang di kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) masih wujud di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menterinya, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh, bagaimanapun berkata, kementerian sentiasa memantau perkembangan kedua-dua universiti itu bagi memastikan guru dan pelajar yang dilahirkan sentiasa senada dengan dasar kerajaan.

``Bagi menangani perkara ini daripada terus menjadi `barah', kementerian telah mewujudkan kumpulan aspirasi kerajaan bagi melahirkan generasi yang tebal semangat nasionalismenya, kukuh sahsiah dan tinggi nilai Melayunya.

``Kumpulan tersebut bertindak sebagai pemantau dan penyebar dasar-dasar dan aspirasi kerajaan supaya pada pilihan raya kampus pada tahun ini, kumpulan propembangkang tidak lagi berjaya menguasai,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kekecewaan wakil Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Kamal Saidin ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2005 apabila mendapati MPP kedua-dua universiti itu masih dikuasai oleh pelajar propembangkang.

Menurut Shafie, bagaimanapun kementerian masih mengumpul bukti untuk mengesan kumpulan yang terlibat dengan propembangkang.

``Saya sebenarnya berasa kecewa dengan tindakan mereka pada tahun lalu kerana ketika kerajaan sanggup membelanjakan berbilion ringgit untuk membina kampus baru UPSI, menaik taraf kampus sedia ada dan menyediakan pelbagai kemudahan serta keselesaan kepada pelajar termasuk yuran, masih ada yang menentang kerajaan,'' katanya.

Sementara itu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr Kamal Hassan berkata, tanggapan bahawa universiti tersebut dikuasai oleh golongan pelajar propembangkang hanya persepsi orang luar sahaja dan tidak menggambarkan senario sebenar.

``Kita menggunakan kaedah mendekati pelajar agar setia dengan misi dan visi universiti. Pendekatan kita adalah penyatuan bukannya pemisahan,'' katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya mendapati pemimpin yang terpilih menduduki Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) memberi kerjasama yang baik dengan kehendak universiti.

``Nampaknya persepsi luar tidak sama dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun kita berharap, keadaan akan lebih baik lagi,'' katanya.

Malah katanya, para pelajar UIAM diwajibkan patuh kepada misi dan visi universiti apabila mereka semua diwajibkan menandatangani surat akujanji.

``Tetapi biasalah tempat yang orang rasa berhantu, walaupun hantu sudah tiada, orang tetap akan anggap tempat itu berhantu,'' katanya.

Naib Canselor UPSI, Datuk Dr. Mohd. Rais Abd. Karim pula menafikan golongan pelajar propembangkang menguasai MPP universiti perguruan itu.

``Perkara itu tidak benar dan warga pendidik dan pelajar UPSI menyokong penuh dasar kerajaan dan aspirasi kerajaan.

``Malah kami berusaha mencapai sasaran kerajaan untuk melahirkan lebih ramai guru yang berpersonaliti unggul dan berkemampuan mengunakan teknologi terkini dalam pembelajaran,'' jelasnya

Pengajaran:
1. Mengapakah Kerajaan berpandangan UIAM dan UPSI adalah propembangkang, kenyataan menteri adalah terlalu umum, seolah-olah menghina universiti tersebut.
2. Perlukah Menteri Pengajian Tinggi bicara soal politik luar dan mengaitkan universiti-universiti tersebut dengan wawasan ASPIRASI, ini tidak adil.
3. Mahasiswa adalah pelapis masyarakat, "FRONT LINE" GENERASI BARU selepas GENERASI SEKARANG. Mahukah anda mewariskan negara kepada pengkhianat AGAMA, BANGSA, dan NEGARA.
4. Menteri Pengajian Tinggi seharusnya lebih menumpukan kepada masalah sosial yang semakin ketara, iaitu melibatkan pelajar universiti di negara kita. Usahlah kerana mementingkan hajat untuk melihat idealisme ASPIRASI berjaya, pihak yang tidak bersalah dituduh dan dikatakan sebagai propembangkang. UIAM dan UPSI adalah antara contoh universiti yang masih terpelihara biahnya dan persaingan buat universiti yang hanya mampu melahirkan siswa atau siswi yang berpendidikan, tetapi lemah sahsiah dan karismanya. Wahai MELAYU belajarlah...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home