Designed By: ehsanibnzaid


Saturday, August 20, 2005

KENALI 5 GOLONGAN YANG MENGHINA AL-QURAN



Oleh:Dato' Dr. Harun Din

PERIHAL penghinaan terhadap al-Quran bukanlah sesuatu yang baru. Ianya sudah berlaku seawal Islam itu diturunkan kepada manusia. Bentuk dan caranya sahaja yang berlainan tetapi natijahnya sama iaitu penghinaan terhadap al-Quran.

Menghina al-Quran bererti menghina Islam. Menghina Islam bererti menghina Allah SWT. Di akhir-akhir ini heboh (bukan Sure Heboh), berita panas tentang al-Quran diletakkan dalam tandas yang dipetik sumbernya daripada majalah Newsweek edisi 9 Mei 2005 di ruangan Periscope halaman 5.

Disiarkan berita ekslusif mengenai pasukan penyiasat tentera Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan taktik deraan terhadap tahanan Islam di Teluk Guantanamao (Gitmo) di Cuba, tajuk berita asalnya ialah 'Scandals speards'.

Lebih malang lagi menurut sumber tersebut, al-Quran bukan sekadar diletakkan dalam tandas, malah difahamkan ianya dijadikan kertas pengelap najis dan dimasukkan ke dalam mangkuk tandas.

Malah akhbar juga memaparkan bahawa aduan mengenai penghinaan terhadap al-Quran berlaku sejak tahun 2002 lagi.

Media-media dalam negara juga memaparkan berita-berita mengenai penghinaan terhadap al-Quran yang mencetuskan kemarahan amat sangat di kalangan umat Islam khususnya di Afghanistan dan Pakistan yang mengakibatkan beberapa rusuhan berlaku.

Rusuhan tersebut mengakibatkan ramai yang terkorban dan beratus-ratus orang tercedera.

Dalam negara kita pula, akhbar melaporkan tentang suatu kes 'Jubin hina Islam dirampas.' Berita tersebut Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) merampas sejumlah jubin lantai mengandungi tulisan mirip kalimah Allah dalam serbuan di dua kedai di Kulai, Johor.

Saya memetik laporan, bahawa menurut sumber itu, jubin tersebut dikesan hasil aduan orang ramai dan pemeriksaan mendapati tulisan kalimah Allah, jelas pada corak permukaan jubin.

Saya menyebut di awal tadi bahawa sejarah manusia menghina wahyu Allah, iaitu al-Quran, bukan perkara baru. Sewaktu Islam mula berkembang dalam keadaan pengikutnya yang amat terhad ketika pengikutnya terdiri daripada golongan lemah dan tidak berdaya, al-Quran dihina oleh masyarakat jahiliyyah dengan mengatakannya sebagai cerita-cerita donggeng.

Peristiwa ini dipaparkan oleh al-Quran dalam banyak surah. Antaranya firman Allah yang mafhumnya;

"Apabila dibaca kepadanya ayat-ayat Allah, dia berkata itu adalah cerita-cerita donggeng. Sekali-kali tidak demikian, sebenarnya apa yang mereka selalu usahakan itu menutup hati mereka dari kebenaran." (Surah al-Mutaffifin ayat 13-14)

Allah berfirman yang mafhumnya;

"Orang-orang yang kufur itu, apabila mendengar ayat-ayat Allah, mereka akan mengatakan bahawa itu adalah cerita-cerita donggeng." (Surah al-An'am ayat 53)

Perkataan sedemikian itupun sudah merupakan suatu penghinaan terhadap kalamullah!

Oleh kerana musuh Islam pada dasarnya tidak mengimani al-Quran itu sebagai suatu yang benar, turun daripada Allah SWT, maka mereka melakukan apa sahaja untuk menghina al-Quran.

Lain halnya apabila al-Quran itu sendiri dicerca dan dihina oleh orang yang beragama Islam seperti yang dilakukan oleh penulis yang bernama Salman Rushdie dalam bukunya 'The Satanic Verses' yang menggambarkan al-Quran bukan kalamullah tetapi ungkapan-ungkapan yang ditiupkan oleh syaitan ke dalam telinga Nabi Muhammad S.A.W atau diambil daripada kata-kata batil untuk menyesatkan manusia.

Apabila hal ini berlaku, timbul kemarahan umat Islam sehingga menggerakkan Kerajaan Islam Iran dibawah kepimpinan Ayatullah Khomeini menawarkan jutaan dolar AS bagi sesiapa yang boleh menghapuskan Salman Rushdie yang jelas menghina al-Quran dan dijatuhkan hukuman murtad.

Tindakan tegas terhadap penulis 'The Satanic Verses' ini adalah bertepatan dengan al-Quran, al-hadis serta ijmak ulama bahawa orang yang murtad setelah cukup segala keterangan dan bukti hendaklah dibunuh.

Seluruh media massa dari dahulu hingga sekarang, seolah-olah hanya menumpukan penghinaan terhadap al-Quran dengan membangkitkan isu-isu seperti meletak al-Quran dalam tandas, memijak ayat al-Quran, menjadikan al-Quran sebagai bungkusan makanan, mencetak al-Quran di pakaian dan meletakkan ayat-ayat al-Quran pada permainan kanak-kanak.

Seolah itulah sahaja bentuk penghinaan terhadap al-Quran. Hampir tidak pernah ditulis atau diulas bahawa mengenepikan atau memulaukan al-Quran sebagai pedoman utama dalam penghidupan bernegara boleh ditafsirkan sebagai penghinaan terhadap al-Qurannul Karim.

Perihal ini Allah SWT berfirman yang mafhumnya;

"Dan mengadulah Rasul kepada Allah dengan madahnya 'Ya Tuhan-Ku, sesungguhnya kaumku telah mengambil sikap memulaukan al-Quran. Seperti itulah telah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi musuh dari orang-orang yang berdosa dan cukuplah Tuhan-Mu menjadi pemberi petunjuk dan penolong." (Surah al-Furqan, ayat 30-31).


Perkataan 'Mahjuura' dalam ayat di atas, seperti yang disebut oleh Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qaiyyim (dalam karangan mereka) bahawa masyarakat di zaman Nabi telah memulaukan pada 5 perkara utama iaitu:

1. Memulaukan al-Quran tanpa membacanya;

2. Memulaukan al-Quran dengan tidak mengambil faham petunjuk-petunjuk-Nya dalam;

3. Memulaukan al-Quran dengan tidak mengambil hukum hakam-Nya;

4. Memulaukan al-Quran dengan tidak menjadikan itu sebagai pemutus kepada semua masalah kehidupan dan

5. Memulaukan al-Quran dengan tidak menjadikannya penawar kepada permasalahan sakit jasmani dan rohani mereka.

Jika tafsiran ini dapat difahami, maka jelas jika dilihat dalam diri umat Islam kini, khasnya di Malaysia, rata-rata telah memulaukan al-Quran.

Khususnya golongan yang berkuasa dengan tidak menjadikan al-Quran sebagai kitab utama, petunjuk yang menjadi tumpuan dan diambil iktibar sebagai pedoman serta pengajaran.

Penghinaan al-Quran dalam hidup kita dengan meletakkan atau mengkategorikan al-Quran (ciptaan Allah) di bawah perlembagaan ciptaan manusia. Kita menjadikan dan meletakkan undang-undang ciptaan manusia mengatasi undang-undang ciptaan Allah.

Hal ini jelas merupakan suatu penghinaan terhadap al-Quran!

Jika kita merujuk kepada hukum-hukum al-Quran seperti hukuman hudud misalnya, bukan sahaja tidak mahu diambil untuk dijadikan undang-undang negara, malah pernah pernah dikatakan oleh pemimpin kanan negara bahawa hukuman itu tidak berperikemanusiaan, kejam dan tidak relevan.

Kita pernah juga mendengar komen yang menghina al-Quran seperti ungkapan "kalaulah hukuman hudud (khususnya kepada golongan pencuri dan perompak) dilaksanakan ke atas umat Islam, maka akan jadilah mereka anggota masyarakat yang cacat anggota dan tidak boleh bersaing, di pandang hina dan tertindas kerana kecacatan anggota yang nyata."

Kita juga pernah mendengar kata-kata "sesiapa yang hendak merasa makanan sup tangan maka pergilah ke Kelantan". "Jika hukuman ini dilaksanakan, maka akan bersepahlah tangan-tangan yang dipotong akan busuklah seluruh negara."

Terdapat golongan yang menuduh hukum-hukum Islam, dengan mengatakan adanya tidak adil kerana kononnya wujud diskriminasi antara golongan lelaki dan wanita dalam beberapa hal seperti yang dibangkitkan tentang soal pemberian harta, kuasa cerai kepada lelaki, khalifah disyaratkan lelaki, imam solat Jumaat lelaki dan berbagai-bagai lagi.

Semua ini adalah penghinaan yang amat berat terhadap al-Qurannul Karim.

Malah, akhir-akhir ini kedengaran wujud ketidakyakinan kepada Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W, sebagai agama yang sempurna, yang mampu menjana kekuatan bagi membina negara yang bertamadun yang sepatutnya diterima sepenuhnya untuk dilaksanakan.

Krisis keyakinan ini terbongkar apabila perkataan Hadhari terpaksa ditambah menjadikan Islam Hadhari sebagai gagasan baru untuk menjadi penggerak suatu usaha baru ke arah pengukuhan tamadun dunia yang berasaskan kepada nilai-nilai kebendaan.

Hal ini sebenarnya mencerminkan ketidakyakinan kepada Islam sebenar seperti yang disebutkan dalam al-Quran (mafhumnya) "Sesungguh agama disisi Allah SWT adalah Islam". Bukan Islam Hadhari, tetapi Islam!

Keseluruhan aktiviti insan dalam dunia hari ini, tidak menjadikan Islam sebagai sumber inspirasi bagi mewujudkan suatu penggerak ke arah tamadun yang sebenar. Islam memberi keutamaan kepada mencapai keredaan Allah SWT.

Malah kita melihat dari sudut yang lain bahawa hukum hakam ada dalam al-Quran itu telah dijadikan sebagai suatu bahan untuk dipilih mana yang selaras dengan selera pihak berkuasa dan memberi keuntungan keduniaan yang nyata, khasnya dalam aspek ekonomi dan pembangunan jasmani.

Adapun hukum yang tidak memberi keuntungan yang nyata, ia ditinggal atau diketepikan.

Lebih parah daripada itu dilihat aktiviti ekonomi manusia, yang terang-terang melaksanakan prinsip yang bertentangan dengan al-Quran seperti mengamalkan aktiviti riba, membolehkan aktiviti perjudian yang mendatangkan faedah duniawi dan menyumbang ke arah penabungan negara, memberi kebenaran dan lesen untuk acara-acara hiburan yang melampaui batas yang sepatutnya dikawal, juga tindakan yang memantapkan pengaruh dengan cara melalaikan ummah dengan hiburan.

Aktiviti ini semua jelas bertentangan dengan petunjuk Allah kerana ia mengajak manusia hidup dengan berseronok dan berpoya-poya serta bertuhankan hawa nafsu.

Walaupun ianya mendapat tentangan mufti-mufti dan alim ulama, itu semuanya tidak diendahkan kerana keutamaan bukan menjunjung titah Allah, tetapi memberi keutamaan kepada pembinaan tamadun dunia yang berasaskan nilai kebendaan.

Oleh kerana itulah, saya melihat bahawa penghinaan terhadap al-Quran tidak begitu parah jika ia berlaku berpunca daripada golongan kuffar kerana mereka sememangnya buta hati, buta akal dan buta cita rasa.

Akan tetapi saya berasa kesal dan malang apabila berlaku penghinaan (sebagaimana yang saya catatkan sebahagiannya) di kalangan umat Islam yang rata-rata membaca al-Quran dan mengimaninya sebagai salah satu rukun iman, tetapi dalam amalan mereka meragui dan mempunyai prasangka buruk bahawa al-Quran mampu menjadi penyelesaian permasalahan manusia.

p/s dari ehsan ibn zaid:umat Islam juga dikira menghina Al-Quran, sekiranya tidak mengamalkan isinya dan tidak membaca (Al-Quran). Sedarlah Al-Quran itu adalah di antara mukjizat Rasulullah SAW yang teragung dan paling hampir dengan kita. Rugilah jika kita sendiri mensia-siakannya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home