Designed By: ehsanibnzaid


Monday, August 29, 2005

Krisis NILAI! - Apakah penyelesaiannya?


Oleh: Dato' Dr. Harun Din
Editor: ehsanibnzaid

Krisis NILAI akhir-akhir ini semakin serius. Insan seperti sudah kehilangan punca untuk menentukan nilai sesuatu perbuatan atau tingkahlaku, manakah yang baik untuk dilakukan dan manakah yang buruk untuk dijauhi.

Insan seperti tidak dapat memberikan jawapan apakah dia kebaikan yang diistilahkan sebagai 'al-khair' dan apa pula yang diistilahkan sebagai kejahatan atau 'as-syar'.

Apakah dia kayu ukur atau neraca timbangan untuk mengukur dan menimbang mana satu yang baik dan mana yang buruk.

Ada insan yang menggunakan akal sebagai kayu ukur. Mana yang akalnya mengatakan yang baik, maka dia pun melakukannya, mana yang tidak baik dilakukan, maka dia terus menjauhinya.

Tetapi akal manusia adalah berbeza antara satu sama lain yang akhirnya apa yang akal seseorang itu mengatakan baik, akan ada akal orang lain mengatakan ianya tidak baik. Maka akan berlakulah pertembungan.

Terdapat juga insan menggunakan amalan atau budaya di sesuatu tempat untuk mengiyakan atau menidakkan sesuatu perkara.

Di zaman moden ini, manusia menggunakan kuasa politik untuk menentukan sesuatu perkara, iaitu apa yang diputuskan oleh orang yang berkuasa dalam politik, diulang dan dilaksanakan dalam masyarakat, itulah dikatakan 'al-khair' dan apa yang dilarang mereka dikatakan 'as-syar'.

Jika inilah keadaan yang berlaku dalam masyarakat kita, maka krisis nilai, semakin hari semakin parah.

Insan seperti sudah seperti kehilangan pedoman untuk menentukan secara serius bagi meyakinkan diri sendiri, dengan mengatakan yang baik itu adalah mutlak dan yang jahat itu adalah mutlak. Yang baik untuk dikerjakan dan yang buruk untuk dijauhi.

Kerana bercelarunya ukuran antara mana yang baik dengan yang tidak baik, maka berlaku sehingga kepada peringkat menilai hukum-hukum Allah yang diwahyukan untuk kebaikan manusia boleh diragui oleh insan yang berpegang dan percaya kepada kefahaman agama itu sendiri.

Contohnya penganut-penganut Islam, yang sudah semestinya mereka berpegang dan penuh yakin kepada rukun iman yang termasuk di dalamnya mempercayai kitab Allah, sebagai kitab, petunjuk, dan wahyu.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 1 - 5 yang bermaksud.

“Alif, Laaam, Mimmm. Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya. Ianya adalah petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. Iaitu mereka yang beriman kepada perkara yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkah sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dan mereka yang beriman kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada mu (Muhammad) dan kitab-kitab yang diturunkan sebelum mu, maka yakin akan adanya pembalasan pada hari akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Ayat-ayat awal ini memberi penekanan kepada kitab al-Quran yang menjadi panduan kepada umat yang beriman dengannya sebagai penentu kepada permasalahan nilai yang sedang menghadapi krisis.

Dengan wahyu ini, Allah memberi suatu petunjuk kepada umat Islam bahawa nilai telahpun ditentukan oleh syarak.

Oleh itu maka ulama-ulama telah membuat kesimpulan yang mudah difahami. Kata-kata yang terpahat kepada orang yang memahami hukum nilai disebut bahawa “Yang baik itu ialah yang syarak mengatakan ianya baik, manakala yang jahat itu, ialah yang dikatakan oleh syarak sebagai jahat.”

Nilai sebenarnya merujuk kepada hukum yang ditentukan oleh Allah SWT.

Dalam Surah an-Nuur ayat 51- 52, Allah berfirman yang bermaksud;

“Sesungguhnya pendirian orang-orang yang beriman kepada Allah, apabila mereka diseru kepada Allah dan Rasul-Nya bagi mengambil hukum bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul di kalangan mereka, kata-kata mereka hanyalah 'kami dengar dan kami taat.'
Mereka itulah orang-orang yang memperolehi kejayaan dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta takut kepada Allah dan bimbang kepada kemurkaannya maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Ayat Surah an-Nuur ini memberi gambaran bahawa orang-orang Islam, iaitu orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT akan menerima penyelesaian masalah krisis nilai dengan merujuk kepada hukum-hukum Allah SWT.

Sepatutnya kita bimbang dan khuatir dengan peringatan Allah SWT dalam Surah Faathir ayat 8 yang bermaksud;

“Apakah mereka-mereka yang telah dihiasi perbuatan-perbuatan jahat mereka yang melanggar hukum, lalu mereka melihatnya sebagai sesuatu yang cantik dan indah, maka sesungguhnya Allah SWT menyesatkan mereka yang dikehendaki dan memberi hidayah kepada mereka yang dikehendaki. Maka jangalah kamu merasakan kecewa dengan penolakan orang-orang yang engkar. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui dengan apa yang telah mereka lakukan.”

Ayat ini mengingatkan kita kepada adanya segolongan manusia yang kerja mereka melakukan kerja-kerja buruk, kerja jahat, usaha merosakkan nilai, tetapi semua itu pada penglihatan dan pengamatan mereka adalah sesuatu perbuatan yang baik dan cantik, sedangkan ianya pada Allah SWT adalah amat buruk.

Jika inilah yang berlaku, maknanya, insan sudah tidak mengira nilai yang diberikan ketentuannya oleh Allah SWT, sebaliknya mereka mengambil nilai yang mereka sendiri meletakkannya sebagai baik, walaupun ia menentang kehendak Allah.

Dari krisis nilai yang sedemikian, maka berlaku suatu fenomena penentang-penentang Allag dan Rasul-Nya, iaitu golongan yang tidak menerima hukum Allah sehingga sampai kepada peringkat menentang berlaku dari dahulu hingga sekarang.

Tetapi pembela, penegak dan pelaksana hukum Allah juga wujud dan akan teguh berdiri di bawah lambang jihad, wujud dari dahulu sampai ke hari ini.

Seorang pemikir Islam yang terkenal, Dr Yusuf al-Qardawi dalam bukunya yang berjudul “al-Iman wah hayah” di halaman 189 ada menyebut yang maksudnya;

“Islam telah membahagikan alam manusia ini kepada dua golongan yang besar, satu, pembela-pembela yang hak dan yang kedua, penegak-penegak kebatilan. Di mana ada golongan yang menegakkan yang hak, di sana ada golongan yang menegakkan kebatilan.”

Islam tidak membolehkan mana-mana orang untuk bangun berjihad melainkan untuk menundukkan golongan yang menegakkan kebatilan.

Kerana itulah Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa' ayat 76 yang bermaksud;

“Orang-orang yang beriman sentiasa berjihad di jalan Allah untuk menegakkan syariat Allah, dan orang-orang yang kufur, mereka berjuang pada jalan 'taghut'. Maka hadapilah pembela-pembela jalan syaitan, sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

Perjuangan untuk menegakkan hukum Allah SWT adalah perjuangan untuk mengembalikan manusia di atas landasan fitrah. Fitrah adalah keadaan semulajadi manusia yang mereka sepatutnya berada di atas jalan menuju keredhaan Allah dan bukannya berada di atas jalan yang dimurkai Allah SWT.

Yang hak datang dari Allah dan yang batil datangnya daripada syaitan dan suku sakatnya.

Oleh kerana itulah insan, walaupun telah diberikan segala macam kemudahan kepadanya untuk mengukur jalan kebaikan dan jalan keburukan, bukan sahaja akal, tetapi diberikan wahyu dan dengan bukti yang amat nyata.

Allah SWT adalah Tuhan pencipta yang mengetahui segala keperluan manusia, bukan sahaja untuk sementara mereka berada di atas dunia yang fana ini, malah Allah amat mengetahui mereka akan diuji semula selepas mati dan akan dapat melihat sendiri hasil-hasil perbuatan mereka di dunia

Perbuatan yang baik di dunia, hasil perbuatannya akan dikecapi selepas mati dan sebaliknya juga demikian.

Oleh sebab itu maka, krisis NILAI tidak seharusnya dibiar berterusan, kerana akhirnya manusia yang akan terus menerima akibatnya.

Penyelesaian kepada kepada krisis nilai ini, iaitu hendaklah kita kembali kepada Allah SWT sesuai dengan Firman Allah dalam Surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada perintah Allah, dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan pemerintah di kalangan kamu. Maka sekiranya kamu bersengketa dalam sesuatu perkara, maka carilah penyelesaiannya dengan merujuk kepada hukum Allah dan Rasul-Nya sekiranya kamu benar-benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Demikian itu adalah sebaik-baik jalan kepada mu dan sebaik-baik yang kamu rujuk.”

Ayat ini menggesa umat Islam, apabila berlaku krisis, terutama krisis NILAI yang akan menentukan arah tuju insan samada hendak kembali kepada Allah atau tidak, mereka perlu merujuk kepada hukum Allah, kerana tidak ada pilihan bagi orang Islam ini mematuhi perintah Allah SWT sebagai sesuatu yang sudah sepatutnya berlaku.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home