Designed By: ehsanibnzaid


Monday, August 22, 2005

SETELAH TAMATNYA MAWI DAN AF3...MELAYU TERSEDAR DARI LENANYA


Oleh : ANAK RANTAUAN
Tarikh : 10 Aug 2005, 8:59 pm


PUNAT suis televisyen tertutup sudah. Lampu pun sudah dimalapkan. Meja dan kerusi sudah berlipat. Tauke-tauke warung, gerai dan restoran mula menutup pintu premis masing-masing.

Kelibat kereta sudah mula beransur lenyap di dataran pakir. Sorak-sorai sudah lenyap ditelan kedinginan embun dinihari. Deruman motosikal sudah lama terlena di garaj.

Masing-masing sudah berangkat menuju ke teratak sendiri. Yang ke rumah, sudah nyenyak di katil empuk. Yang perlu ke pejabat, sudah mula berdepan skrin monitor. Yang tanpa tujuan, mencari ceruk dinding kota untuk berlena. Yang berduit, ke kamar dingin hotel berbintang.

Fenomena Mawi sudah selesai. Mawi telah bergelar juara. Sang juara telah mengaut hadiahnya. Selama tiga bulan arus Akademi Fantasia 3 (AF3) meragut denyut kota dan kampung. Dari Perlis sehingga ke Sabah laungan Mawi World dan denyutan SMS tidak lekang dari tangan.

Pak cik, mak cik, atuk, nenek, abah, emak, abang, kakak, adik semuanya setia di depan kotak hikmat bergelar televisyen saban Sabtu malam Ahad selama tiga bulan itu. Tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan hatta berjantina dua pun turut melonggo depan peti televisyen. Malah bukan Melayu, India, Cina dan sebut sahaja bangsa-bangsa lain tercengkam di hadapan televisyen.

Benarlah, apa yang dipaparkan di dalam akhbar dan media-media arus perdana lain bahawa apa yang disebutkan sebagai 'fenomena' itu benar-benar berlaku.

Aura Mawi yang terpancar begitu hebat sekali. Bukan satu atau dua, tetapi berpuluh ribu dan tidak mustahil mencecah jutaan jumlah pengikut dan peminatnya. Dan apabila disebut jutaan, nilai SMS yang mencecah RM12.6 juta sebagaimana yang diberitakan amatlah menakjubkan.

Kalau setakat jumlah keseluruhan, tidaklah menghairankan. Namun, jika fenomena Mawi sahaja mengutip sebanyak RM12.6 juta, adalah sesuatu yang di luar dugaan.

Benar, jumlah yang meng'SMS' untuk Mawi adalah bernilai RM12.6 juta dan ini tidak termasuk bagi pelajar-pelajar AF3 yang lain. Maka layaklah kalau Mawi digelarkan jutawan SMS AF3.

Dalam menyentuh soal SMS ini, akhbar perdana melaporkan ada yang membelanjakan antara RM50 sehingga RM1500.00 seorang.

Nampaknya, rakyat Malaysia terutamanya orang-orang Melayu Islam sekarang sudah mewah. Sudah berduit. Sudah mampu berSMS untuk AF. Sudah mula mempunyai fan club (AF3). Sudah boleh melonggo di depan skrin gergasi sampai dinihari dalam tirisan embun pagi.

Dan selepas berakhirnya fenomena AF3 atau lebih tepat fenomena Mawi ini, maka akan tidak kedengaranlah lagi suara-suara yang mengeluh duit dah habis agaknya. Agaknya, tak akan ada lagi pelajar universiti mengadu tiada 'loan' atau biasiswa untuk belajar. Tiada lagi mengeluh tiada duit rokok buat perokok-perokok tegar. Tidak akan ada lagi keluhan susah nak berubat sebab duit takde. Tiada lagi yang akan mengeluh, payah nak cari belanja sekolah untuk sekolahkan anak. Dan tiada lagi yang akan mengeluh tiada duit nak beli baja buat hasil tanaman di kebun.

Sebab semua sudah mewah sekarang. Orang Melayu mewah dengan duit. Orang Melayu kaya dengan SMS. Orang Melayu mewah sampai tak boleh buat kerja kerana melonggo depan skrin televisyen. Orang Melayu senang dan berduit sampai mampu beli Astro. Orang Melayu hebat kini sampai belanja sakan untuk tonton konsert AF3.

Dan seusai AF3, skrin besar telah malap. Tatkala langkah kaki longlai menuju kenderaan. Dan apabila menekan punat kereta atau motosikal, jangan pula ada yang mengeluh minyak dah habis. Sambil terkebil-kebil menyasau mencari duit untuk isi minyak. Ketika itu, barulah orang Melayu akan menepuk dahi. Orang Melayu mencelikkan mata. Orang Melayu bangun dari tidur.

Bangun dari lena AF3. Bangun dari fenomena Mawi. Bangun dari nyenyak Astro. Bangun dari mimpi tiga bulan lalu. Sambil mengerenyeh mata yang sasau, barulah orang Melayu sedar...harga minyak, barang dah naik rupanya!

2 Comments:

Blogger Karl Hiunzm said...

Hai, Di antara banyak blog yang saya lawati hari ini, blog anda antara yang hebat. Saya akan bookmark blog anda!

Saya ada tips usaha jadi kaya. Peluang dan tips usaha jadi kaya di sini.

Lawatilah bila ada masa lapang :-)

5:16 PM  
Blogger Rockerz said...

Hai, saya suka membaca blog untuk menambah ilmu dan maklumat. Setiap hari sekurang-kurangnya saya lawat 20 blog. Blog anda adalah antara yang paling menarik untuk hari ni. Keep up the good work!

Terlanjur saya di sini, tahukah anda tips kaya dengan mudah. Sistem Menjana Wang Secara Automatik. RM200,000 dalam masa 35 hari dengan modal hanya RM10! Ini baru REAL!. Peluang dan tips kaya dengan mudah di sini.

1:26 PM  

Post a Comment

<< Home