Designed By: ehsanibnzaid


Sunday, December 25, 2005

KESATUAN ISLAM – ETIKA KETIKA BERLAKU PERSELISIHAN

Oleh: abg khairul

Dan dua orang yang beriman berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Al-Hujurat: 9-10)



Dunia hari ini, melihatkan berlakunya banyak perbalahan di dalam masyarakat. Beberapa bentuk perselisihan ini biasanya terdiri daripada:
1.Perselisihan antara seorang individu dengan individu yang lain.
2.Perselisihan antara satu kumpulan individu Muslim dan kumpulan individu Muslim yang lain.
3.Perselisihan antara satu parti dengan parti yang lain.
4.Perselisihan antara satu organisasi dakwah dengan satu organisasi dakwah yang lain.
5.Perselisihan antara satu komuniti dengan satu komuniti yang lain.
6.Perselisihan antara negara atau negeri dengan negara atau negeri yang lain.


Segala bentuk perpecahan ini adalah di antara perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Firman Allah:
...Dan apabila kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan RasulNya (Sunnah)... (Al-Nisa’: 59)


Menjadi kewajipan bagi kita semua menghayati peri pentingnya Kesatuan Islam yang menjadi asas kejayaan umat seluruhnya. Hukum membina kesatuan adalah wajib dan ia mestilah dibina dengan asas yang teguh iaitulah berlandaskan keimanan dan keikhlasan kepada seruan Allah SWT. Mungkin pepatah mengatakan bahawa ‘Bersatu teguh, bercerai roboh’ dapat menunjukkan kelebihan kesatuan dan menjauhi perbalahan. Tapi, harus diingat bahawa tiada kesatuan terhadap perkara-perkara keburukan dan menentang Allah SWT dan RasulNya.
Merujuk kepada buku karangan Prof. Dr. Taha Jabir, Sarjana Islam semasa “Adab al-ikhtilaf Fi Al Islam”, menyebutkan beberapa etika penting dalam menghadapi perbalahan atau perselisihan. Antaranya:
1.Kita mestilah berusaha untuk mengelak sebarang perselisihan dan perbezaan ini sedaya mungkin.
2.Sekiranya wujud lagi perselisihan, maka kita mestilah berpegang teguh kepada kebenaran dan mengakui serta menerimanya sekalipun pahit atau bercanggah dengan pendapat kita, perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama lain serta kesungguhan mencari apa yang disifatkan sebagai kebenaran perlu ada.
3.Kita harus menganggap bahawa Kesatuan (Wehdah) Islamiyah adalah asas di dalam agama dan ukhuwwah yang menghubungkan di antara sesama Muslim itu tidak akan terputus walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
4.Perkara yang tidak dipersetujui itu bukanlah perkara dasar (utama) dalam Islam, sebaliknya berkisar mengenai persoalan kecil atau cabang (furu’)

Prof. Dr. Taha juga ada menulis bahawa beberapa perselisihan pendapat di kalangan para sahabat dan tabien yang berlaku suatu ketika dahulu dapat diselesaikan dengan mudah disebabkan semangat dan iltizam mereka kepada Islam yang sebenar.
As-Syahid Imam Hassan Al-Banna juga ada menyebutkan beberapa pandangan beliau yang dapat dijadikan ikutan di kalangan Jemaah Islam. Antaranya:
1.Perpaduan Ummah mestilah dipelihara dan diberi keutamaan.
2.Semua kumpulan mestilah bersetuju dengan prinsip-prinsip umum Islam.
3.Semua pihak mestilah mempunyai perasaan baik sangka (husnu Al Zan) khususnya jika belaku sebarang kesilapan.
4.Menghormati gerakan lain, meskipun berlakunya perbezaan pendapat.
5.Berusaha untuk mengelakkan sebarang pergeseran.
6.Semua pihak mesti akur bahawa jalan untuk mencapai kebaikan itu banyak dan tidak semestinya satu pendekatan sahaja.

Dalam perihal ini, Al-Maududi telah menjelaskan apabila ditanya bagaimanakah kesatuan antara organisasi Islam itu boleh dicapai. Maka beliau menegaskan: “Kesatuan itu dapat dicapai dengan persetujuan bersama, tetapi syarat yang paling utama adalah keikhlasan tujuan setiap gerakan. Tujuannya mestilah untuk memuliakan Islam, tidak kerana kepentingan peribadi mana-mana pihak tertentu”.

Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk memelihara dan menyemarakkan ukhuwwah Islamiyah di dalam masyarakat. As-syahid Imam Hassan Al-Banna pernah menyatakan suatu motto yang begitu ideal untuk menyemarakkan persaudaraan sesama Islam, iaitu: “Iman dan amal, Kasih sayang dan Persaudaraan”. Ukhuwwah ataupun ikatan persaudaraan setiap Muslim itu ibarat air yang mengalir dan tidak akan putus walaupun dihalang oleh batu yang keras dan besar. Persaudaraan ini tidak mudah tergadai kerana kepentingan keduniaan, dan ingatlah bahawa walau sejahat mana pun seseorang Muslim itu. Mereka adalah lebih baik dan lebih mulia apabila mereka bertaubat kepada Allah SWT. Menjadi tanggungjawab kita memelihara saudara kita dan membimbing mereka kepada kebaikan dan menyelamatkan mereka selagi kita menghirup nafas kurniaan Allah SWT ini. Untuk itu juga, kita seharusnya menghindari perselisihan dan berdoa agar Muslim ini akan disatukan hati-hati mereka. Lihatlah bagaimana perselisihan di antara puak Aus dan Khazraj berzaman-zaman yang akhirnya ditamatkan dengan menyatukan mereka di dalam Islam.

Muslim juga harus sedar bahawa syaitan, iblis, dan musuh Allah SWT itu sentiasa merapati dan cuba untuk merosakkan ukhuwwah Islam. Maka persediaan yang baik dan peningkatan kualiti sikap serta mutu ibadah harian perlu ditingkatkan untuk menjauhi segala dugaan yang mendatang. Melatih diri menjadi lebih profesional, iltizam untuk terus cemerlang dan semangat untuk menghindari sifat seperti pentingkatan diri sendiri, sombong, suka kepada harta, pangkat, kedudukan, ta’asub dan jumud atau sentiasa merasakan dirinya sahaja yang betul dan sempurna adalah asas untuk memelihara persaudaraan Islam itu.

Muslim hari ini lemah kerana hati-hati mereka kebanyakannya berpenyakit, dan kita berharap agar Muslim akan terus berubah menuju kejayaan di dunia dan akhirat. Kesimpulannya, kesatuan Islam merangkumi segala bidang. Allah SWT cuba melatih manusia dengan modul sembahyang bersama-sama. Hidup saling membantu dan memelihara hak sesama manusia dan menghindari fitnah. Menjadi seorang muslim yang suka menasihati dan memelihara dirinya serta manusia di sekelilingnya adalah satu formula dari surah Al-Asr yang cuba disampaikan oleh Allah SWT kepada seluruh Muslim.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (Al-Asr: 1-3)

Bersamalah kita menghayati dan mengamalkan apa yang terkandung di dalam kitab panduan Muslim iaitu Al-Quran dan sunnah Rasul SAW. Meskipun amal kita banyak dan kita sering beribadah, harus kita ingat bahawa pesan Nabi: “Tidak beriman di antara kamu, selagi kamu tidak mengasihi sauadara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu”.
Pesan Rasul SAW(Hadith riwayat menerusi Ibn Mas’ud): “Janganlah kamu berselisih sengketa; kerana sesungguhnya umat-umat sebelum kamu adalah mereka yang berselisih sesama sendiri dan menyebabkan mereka binasa”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home