Designed By: ehsanibnzaid


Friday, March 18, 2005

SIFAT PETUGAS AMAL ISLAMI

RUKUN - RUKUN BAI’AH
MUQADDIMAH


1.1 Amal Islami adalah kewajipan Syara’. Ia meliputi kedua-dua cabang amal iaitu Amal Jama’ie dan Amal Ijtima’ie.
1.2 Amal Jama’ie adalah tugas-tugas dan tanggungjawab yang bersifat dalaman kepada sebuah Jamaah. Ia meliputi aspek Tarbiyah, pengurusan tanzim dan lain-lain perkara yang bersifat membina ciri-ciri anggota Jamaah yang berstatus Hizbullah.
1.3 Manakala Amal Ijtima’ie pula adalah tugas-tugas dan tanggungjawab yang bersifat kemasyarakatan. Matlamat Amal Ijtima’ie adalah untuk menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat umum di luar tanzim seluas mungkin dan menjadikan Jamaah dan ahlinya sebagai kumpulan manusia yang bermanfaat (pada perspektif masyarakat umum) dan diperlukan oleh masyarakat setempat. Hal ini meliputi kerja-kerja seperti membekalkan khidmat kesihatan, bantuan kepada mangsa bencana dan sebagainya.
1.4 Kedua-dua bahagian Amal ini adalah sama pentingnya kerana ia adalah matlamat Islam itu sendiri. Amal Jama’ie dan Amal Ijtima’ie, kedua-duanya adalah untuk merealisasikan agama Allah sebagai rahmat kepada seluruh alam dan bermatlamatkan Islam itu didaulatkan serta diberikan tempat yang tertinggi, tiada yang lebih tinggi mengatasinya. Dalam konteks hari ini, ringkasan kepada matlamat itu adalah KEMENANGAN ISLAM.
1.5 Kemenangan Islam adalah sesuatu yang besar. Allah SWT tidak memberikan kemenangan itu sewenang-wenangnya, tanpa memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
1.6 Syarat-syarat ini meliputi tiga aspek iaitu ciri-ciri Jamah, ciri-ciri individu Jamaah dan ciri-ciri amal perbuatan yang dilaksanakan oleh Jamaah.
1.7 Perbincangan di bawah tajuk ini akan menumpukan kepada ciri-ciri kedua iaitu ciri-ciri individu Jamaah yang kita namakan sebagai Petugas Amal Islami.

SKOP PERBINCANGAN

2.1. Ciri-ciri Petugas Amal Islami ini boleh dibincangkan daripada pelbagai aspek. Al-Quran membicarakan tentang ciri-ciri Jundullah ini di hampir setiap lembaran mushaf.
2.2. Misalnya Allah SWT bercakap tentang ciri-ciri Hizbullah di dalam Surah al-Maidah ayat 56 dan Surah al-Mujadilah ayat 22.
2.3. Begitu juga, para Ulama’ Tafsir menegaskan bahawa di antara hikmah Surah al-Fath diletakkan selepas Surah Muhammad (SAW) adalah supaya kita menghayati sifat-sifat orang yang beriman dan Ansar Nabi Muhammad SAW yang terkandung di dalam surah berkenaan sebelum bercakap tentang kemenangan Islam yang dibentang di dalam surah al-Fath. Dalam ertikata yang lain, janganlah diimpikan kemenangan Islam sebelum ciri-ciri di dalam surah Muhammad (SAW) dapat diamalkan sepenuhnya.
2.4. Akan tetapi perbincangan di sini akan menumpukan kepada apa yang telah sedia diterangkan secara jelas dan mudah oleh al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna yang terkandung di dalam Rukun-rukun Bai’ah sebagaimana yang dibicarakan di dalam Risalah Taalim beliau dan syarah-syarahnya yang lain seperti Fee Aafaaq at-Taalim oleh Said Hawwa dan sebagainya.
2.5. Kita sedia maklum bahawa penggabungan (intima’) diri kita bersama Jamaah adalah diikat dengan apa yang dikenali sebagai Bai’ah. Ia adalah janji setia di antara individu-individu yang bersetuju dan berazam untuk sama-sama memikul suatu tugas yang besar sebagaimana yang ditunjukkan di dalam peristiwa Bai’ah al-Aqabah, Bai’ah ar-Ridhwan dan sebagainya. Begitu juga Bai’ah yang berlangsung di antara petugas Amal Islam dengan Jamaahnya. Bai’ah dalam konteks ini sama hukumnya seperti Nazar yang hukumnya adalah mandub (disukai) tetapi menunaikannya adalah Wajib Syar’ie.
2.6. Bai’ah ini mestilah berlaku dalam keadaan petugas-petugas Amal Islami melaksanakan rukun-rukun Bai’ah berkenaan. Jika tidak, ia adalah Bai’ah yang rosak dan mendatangkan dosa bahkan hanya merosakkan dakwah, lebih daripada memperelokkannya.
2.7. Oleh yang demikian, hendaklah petugas-petugas Amal Islami berusaha untuk memiliki dan menunaikan kesemua sepuluh Rukun Bai’ah berikut dan dengan ciri-ciri inilah, Insha Allah kemenangan Islam akan tercapai, Ameen.

ARKAN (RUKUN-RUKUN) AL-BAI’AH

3.1. Al-FAHMU
3.1.1. Iaitu faham dan seterusnya meyakini bahawa fikrah kita adalah Fikrah Islamiah yang sebenar. Kefahaman adalah kunci kepada keselamatan dan kejayaan dakwah kita kerana tidak mungkin Islam itu diperjuangkan oleh mereka yang tidak memahami Islam itu sendiri. Pepatah Arab pernah menyebut “orang yang tidak memiliki sesuatu itu tidak mungkin dapat memberinya”.
3.1.2. Kefahaman yang dikendaki di dalam Rukun Bai’ah ini meliputi pecahannya yang dikenali sebagai al-Usul al-Isyreen (Usul 20) oleh al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna. Keterangan lanjut boleh dirujuk di http://www.saifulislam.com/article/usul20.htm

3.2. AL-IKHLAS
3.2.1. Keikhlasan di sini bermaksud petugas Amal Islami mestilah meletakkan qasad atau niat pada perkataan dan perbuatannya secara menyeluruh kerana Allah, tanpa mempunyai apa-apa maksud terhadap keinginan harta, kemegahan atau gelaran. Dengan demikian itu jadilah ia Jundi (tentera) Fikrah dan Aqidah, bukannya jundi kemaslahatan.

3.3. AL-AMAL
3.3.1. Petugas hendaklah bekerja dan melaksanakan kefahamannya serta merealisasikannya sebaik mungkin. Amal di sini meliputi pengelokan diri, pembentukan rumahtangga Muslim, pendidikan masyarakat, pembebasan tanah air, pengislahan pemerintahan dan mengembalikan kedaulatan Islam di peringkat antarabangsa sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah agama itu keseluruhannya bagi Allah (al-Anfaal: 39)

3.4. AL-JIHAD
3.4.1. Iaitu jihad yang kewajipannya berlangsung sehingga ke hari Kiamat. Ia merujuk kepada Hadith yang bermaksud “Barangsiapa mati dan tidak pernah berperang jihad serta tidak pernah berniat untuk berperang jihad, maka matinya adalah mati jahiliah”.

3.5. AT-TADHIYYAH
3.5.1. Iaitu pengorbanan. Ia meliputi pengorbanan diri, harta, masa, hayat dan segala-galanya di jalan matlamat.

3.6. AT-THA’AH
3.6.1. Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah ketaatan di dalam mematuhi perintah pimpinan dan melaksanakannya sama ada di dalam keadaan susah atau senang. Ketaatan ini dipagari oleh batas-batas perkara yang duduk di bawah ketaatan kepada Allah dan Rasul.

3.7. AT-TSABAT
3.7.1. Tsabat yang dikehendaki di sini adalah berkekalannya petugas Amal Islami bekerja dan berjihad ke arah merealisasikan matlamatnya tanpa diganggu gugat oleh panjangnya masa dan berleretan tempoh sehinggalah ia mati bertemu Allah. Dengan demikian itu ia berhasil memperolehi salah satu daripada dua kebaikan iaitu tercapainya kemenangan atau syahid.

3.8. AT-TAJARRUD
3.8.1. At-Tajarrud bermaksud seorang Petugas Amal Islami itu menyempurnakan fikrahnya tanpa terpengaruh, terganggu atau terbawa-bawa dengan apa-apa campur aduk anasir yang berada di luar fikrahnya sama ada anasir itu berbentuk pengaruh idea, prinsip mahu pun individu. Menjadi kewajipan kepada kita untuk menghayati bahawa fikrah kita adalah fikrah tertinggi, mulia dan sempurna.

3.9. AL-UKHUWWAH
3.9.1. Apa yang dikehendaki daripada Ukhuwwah di sini adalah ikatan hati dan jiwa sesama petugas Amal Islami dengan ikatan Aqidah. Sesungguhnya ikatan Aqidah adalah sekukuh-kukuh ikatan.

3.10. AT-THIQAH
3.10.1. Kepercayaan yang dimaksudkan di sini adalah tenteramnya hati seorang Jundi itu kepada pemimpinnya, kemampuan dan keikhlasan pemimpin itu. Tenteram hati itu begitu mendalam dan ia tercerna dari kasih sayang, penghargaan, rasa hormat dan taat.